SHAH ALAM, 13 NOV: Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Ucapan takziah itu disampaikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sebelum sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, petang ini.
“Dengan perasaan yang amat dukacita dan sedih, saya ingin mengumumkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa Tun Daim Zainuddin, mantan Ahli Parlimen Kuala Muda dan Merbok yang juga bekas anggota pentadbiran Persekutuan telah kembali ke rahmatullah pada hari ini Rabu, 13 November.
“Saya bagi pihak Ahli-ahli Dewan ini dan pihak Parlimen seluruhnya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan diharap seluruh ahli keluarga Allahyarham terus tabah dalam menghadapi situasi ini.
“Kita berdoa moga-moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh serta lagi beriman,” katanya.
Johari turut memaklumkan Daim telah berkhidmat sebagai Senator dari 1980 hingga 1982 seterusnya sebagai Ahli Parlimen Kuala Muda dan Merbok sejak 1982 hingga 2003.
“Pada yang beragama Islam diminta sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham manakala pada yang bukan beragama Islam diminta bertafakur,” katanya.
Menurut keluarga Allahyarham dalam kenyataan, Daim, 86, meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 8.21 pagi tadi.
Daim sebelum ini memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999-2001.