ad
AGENDA

Hampiri sasaran RMKe-12, lebih 400,000 rumah murah dibina takat September

13 Nov 2024, 6:27 AM
Hampiri sasaran RMKe-12, lebih 400,000 rumah murah dibina takat September
Hampiri sasaran RMKe-12, lebih 400,000 rumah murah dibina takat September

SHAH ALAM, 13 NOV: Penyediaan rumah mampu milik di seluruh negara mencecah 443,259 unit setakat September, menghampiri sasaran 500,000 yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Timbalan Menteri Perumahan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pencapaian sebanyak 89 peratus itu berstatus siap dibina, dalam pembinaan dan perancangan, dengan hanya berbaki 56,741 unit.

“Kerajaan yakin sasaran ini dapat dicapai pada penghujung pelaksanaan RMKe-12 oleh agensi penyedia perumahan di peringkat kerajaan persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemaju swasta.

“Pencapaian ini dipantau Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

[caption id="attachment_614970" align="alignright" width="417"] Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu ketika sesi pertanyaan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2023. Foto BERNAMA[/caption]

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berhubung strategi kerajaan menangani kenaikan harga hartanah dan kekurangan rumah mampu milik di negara ini.

Selain itu, Aiman Athirah berkata pihaknya memberi komitmen tinggi bagi mengimbangi keperluan menyediakan kediaman mampu milik, tanpa mengetepikan aspek kualiti pemajuan rumah.

Tambahnya, pelbagai inisiatif turut dibuat bagi meningkatkan penyediaan rumah itu, termasuk Program Perumahan Rakyat atau Program Residensi Rakyat dan Program Rumah Mesra Rakyat.

“Peluang kerjasama dengan Kerajaan Negeri membangunkan projek rumah mampu milik terus diterokai, di samping menggalakkan pemaju swasta membangunkannya melalui pemberian insentif,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.