ad
AGENDA

815 peserta terima kelulusan Geran Agropreneur Muda

13 Nov 2024, 6:19 AM
815 peserta terima kelulusan Geran Agropreneur Muda

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 815 peserta menerima kelulusan Geran Agropreneur Muda setakat 13 November, kata timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan.

Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kelulusan melibatkan empat sektor iaitu tanaman (324 peserta), industri asas (281 peserta), ternakan (127 peserta) dan perikanan (83 peserta).

Menurutnya Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) memperuntuk sebanyak RM100 juta untuk Program Agropreneur Muda dengan siling tahunan RM20 juta.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15 juta digunakan bagi pembiayaan geran, manakala baki lima juta adalah untuk latihan dan kursus serta galakan pasaran,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Karang Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi berhubung jumlah penerima Geran Agropreneur Muda bagi tahun ini.

Dalam pada itu beliau menambah, bermula Ogos lalu had maksimum Geran Agropreneur Muda (GAM) Start-Up dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM30,000.

“Selain itu kategori baharu Geran Agropreneur Muda Scale-Up turut diperkenalkan dengan had nilai maksimum sebanyak RM50,000.

“Semakan semula had maksimum nilai geran ini dibuat kerana mengambil kira peningkatan kos pelaksanaan dan operasi projek,” katanya.

Beliau menjelaskan selain menaikkan had nilai maksimum geran, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga menaikkan had umur iaitu daripada 18 kepada 43 tahun bagi Geran Agropreneur Muda Start-Up.

“Manakala bagi Geran Agropreneur Muda Scale-Up daripada 21 tahun kepada 45 tahun. Permohonan geran ini dibuka sepanjang tahun untuk kumpulan sasar di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.