ad
AGENDA

Sekatan sementara anak peminjam Mara ke MRSM hingga lunas hutang

13 Nov 2024, 6:07 AM
Sekatan sementara anak peminjam Mara ke MRSM hingga lunas hutang

SHAH ALAM, 13 NOV: Ibu bapa atau penjaga yang disenarai hitam Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak layak memohon kemasukan anak mereka ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Bagaimanapun, timbalan menteri kemajuan desa dan wilayah berkata tindakan itu bersifat sementara dan peminjam boleh membuat penyelarasan semula atau pertimbangan lanjut.

“Senarai hitam ini bersifat sementara apabila tiga bulan tidak bayar (pinjaman). Kita mahu peminjam jumpa Mara untuk selesaikan isu itu. Kita buat pelarasan jika tidak mampu bayar.

“Biasanya lepas jumpa dia akan bayar, automatik senarai hitam tiada lagi. Jika isu ini timbul, boleh rujuk Mara untuk pertimbangan lanjut,” kata Datuk Rubiah Awang di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berhubung pemansuhan senarai hitam peminjam atau ibu bapa bagi membolehkan anak masuk MRSM.

Dalam pada itu, Rubiah menjelaskan tiada MRSM berstatus elit disediakan dan peluang kemasukan terbuka kepada semua pelajar yang memenuhi syarat antaranya warganegara dan memohon dalam talian.

Beliau menambah calon juga perlu menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM dan mendapat keputusan cemerlang, selain ibu bapa atau penjaga tidak disenarai hitam Mara.

“Setakat ini, sebanyak 57 MRSM beroperasi di seluruh negara melaksanakan kurikulum standard kebangsaan dengan program nilai tambah seperti Bitara, Ulul Albab, teknikal dan premier,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.