ad
AGENDA

Tewaskan Denmark, Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan kedua di Kumamoto

13 Nov 2024, 3:59 AM
Tewaskan Denmark, Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan kedua di Kumamoto

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Pasangan juara beregu lelaki Korea Masters 2024 Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen di Kumamoto Masters Jepun 2024 dengan aksi cemerlang selepas melangkah ke pusingan kedua di Kumamoto, Jepun hari ini .

Bagaimanapun, pilihan keempat berkenaan terpaksa bekerja keras sebelum menang 15-21, 21-17, 21-9 dalam masa 52 minit menentang pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada kejohanan Super 500 itu yang berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto.

Pertembungan semula separuh akhir Korea Masters 2024 dijangka untuk pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu apabila mereka bakal bertemu gandingan Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin.

Gandingan Taiwan itu, sebelum ini menafikan pemain Malaysia untuk bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua esok apabila menyingkirkan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, 21-14, 21-19.

Pada Sabtu lepas, Aaron-Wooi Yik menundukkan Hsiang Chieh-Chi-Lin 21-17, 21-16 untuk mara ke peringkat akhir Korea Masters 2024.

Pasangan nombor enam dunia itu kemudian merangkul kejuaraan pertama mereka musim ini dengan menewaskan beregu tuan rumah Jin Yong-Kim Won Ho, 21-23, 21-19, 21-14 dalam kejohanan Super 300 itu.

Sementara itu, pasangan beregu wanita profesional Vivian Hoo-Lim Chiew Sen terpaksa akur apabila langkah mereka terhenti selepas mengalami kekalahan straight set 17-21, 16-21 kepada beregu Jepun Kaho Osawa-Mai Tanabe 17-21, 16-21.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.