ad
AGENDA

Lelaki tikam dua beranak hingga maut didakwa esok

12 Nov 2024, 3:45 PM
Lelaki tikam dua beranak hingga maut didakwa esok

GEORGE TOWN, 12 NOV: Lelaki yang ditahan selepas menikam seorang wanita dan bapanya sehingga maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini Khamis lalu didakwa esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata lelaki berusia 32 tahun yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu, akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Proses pendakwaan ke atas lelaki itu akan dijalankan di Hospital Pulau Pinang, kerana suspek masih dirawat di sebuah wad di hospital itu ketika ini.

“Polis berjaya melengkapkan siasatan kes bunuh berprofil tinggi itu dalam enam hari sahaja, sehingga menghasilkan pertuduhan terhadap suspek bunuh itu esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan angkara cinta ditolak disahkan menjadi motif seorang wanita dan bapanya maut ditikam seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim dan siasatan mendapati suspek menaruh perasaan terhadap wanita berusia 30 tahun itu, tetapi mangsa tidak membalas cintanya.

Dalam kejadian 7 November lalu, lelaki berumur 62 tahun dan anak perempuannya maut, dipercayai ditikam seorang lelaki yang sebelum itu dilihat membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri berkenaan.

Suspek yang bekerja di sebuah kilang di Kulim, Kedah mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri menggunakan pisau yang sama digunakan untuk menikam dua beranak tersebut, sebelum ditahan polis.

Lelaki itu dirawat di HPP dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta direman tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 14 November.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.