KUALA LUMPUR, 12 NOV: Sejumlah 2.3 juta murid dan pelajar lepasan menengah sudah membuat penebusan baucar buku MADANI bernilai RM190 juta setakat 8 November, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Fadhlina berkata jumlah itu melibatkan pembelian berjumlah RM149.1 juta bersamaan dengan 4.8 juta naskhah buku.
“Baucar bernilai RM50 diberikan kepada murid Tahun 4 ke atas, manakala RM100 diberikan kepada murid sekolah menengah, pelajar kolej vokasional, Tingkatan Enam, matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan penebusan dan transaksi pembelian penuh boleh dilakukan hingga 31 Disember ini,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman bantuan baucar buku MADANI berjumlah RM290 juta ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu.
Fadhlina berkata baucar buku itu diberi bagi menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda, melibatkan 3.5 juta murid dan pelajar lepasan menengah.
Menurutnya, KPM akan memantau data penebusan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan dan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan pendidikan di seluruh negara.
- BERNAMA