KLANG, 12 NOV: GM Klang menyasar kehadiran enam juta pengunjung ke pusat beli belah barangan borong terkemuka itu sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Pengarah urusannya Dato’ Lim Seng Kok berkata pihaknya akan menganjur pelbagai kempen istimewa bermula akhir tahun ini bagi membantu memperkasa sektor pelancongan negeri.
“Antara kempen-kempen yang akan berlangsung adalah perkongsian gambar di media sosial yang dinamakan ‘Ke Mana Kita Lepas Borong?’
“Kempen ini direka khas bagi menggalakkan pengunjung GM Klang untuk turut sama mempromosikan tempat pelancongan lain di sekitar Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen istimewa GM Klang sempena Tahun Melawat Selangor 2025 di ruang legar pusat beli belah GM Klang di sini, hari ini.
[caption id="attachment_672687" align="alignleft" width="398"] Pengarah Urusan GM Klang Dato’ Lim Seng Kok[/caption]
Majlis sempena ulang tahun GM Klang ke-15 disempurnakan EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim. Hadir sama Pengurus Jabatan Promosi Tourism Selangor Khuzaimah Jamaluddin.
Dalam pada itu, Seng Kok menambah GM Klang menawarkan insentif beli-belah RM500 setiap bulan bermula tahun depan kepada pengunjung bertuah selain kempen ‘Year End Sale’ bermula 20 Disember.
Menurutnya, GM Klang menjadi pilihan pelancong antarabangsa berikutan kedudukannya berhampiran Pelabuhan Klang sekali gus memperkukuh peranan sebagai Duta Pelancongan Bandaraya Diraja Klang.
“Sebenarnya kira-kira 50 peratus pengunjung kita adalah dari luar negeri dan luar negara. Ada yang datang dari Singapura, Thailand dan kami juga sering jadi pilihan pelancong kapal persiaran,” katanya.