SHAH ALAM, 12 NOV: Seramai 136 orang kurang upaya (OKU) diterima masuk dalam sektor awam sejak 2023 hingga 30 September lalu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Dr Zaliha Mustafa berkata seramai 44 OKU atau 0.33 peratus daripada jumlah keseluruhan lantikan mengisi 13,491 kekosongan jawatan setakat September tahun ini.
Beliau menjelaskan 92 orang pula diterima atau 0.36 peratus daripada keseluruhan lantikan bagi mengisi 25,520 kekosongan jawatan pada tahun lalu.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) membuat pelantikan berdasarkan merit dan kompetensi seseorang calon. Syarat lantikan OKU adalah sama dengan calon yang lain.
“SPA sentiasa menyarankan kementerian, jabatan serta pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang berada di bawah bidang kuasanya meningkatkan peluang OKU mengisi kekosongan jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan V Sivakumar (HARAPAN-Batu Gajah) pada sesi persidangan di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Zaliha, menyedari proses pelantikan adalah kunci kepada kejayaan dasar satu peratus OKU dalam perkhidmatan awam, SPA melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan pengambilan golongan itu.
“Antara usaha ini jalani integrasi maklumat calon OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA (SPA9).
“Selain itu, pengecualian menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) berbanding calon lain, kelonggaran syarat dasar One Step Lower yang mana calon OKU boleh memohon jawatan gred lebih rendah banding kelayakan akademik dimiliki,” katanya lagi.