ad
BERITA UTAMA

Ekonomi rancak, bantuan rakyat bertambah, negeri makmur

12 Nov 2024, 1:00 AM
Ekonomi rancak, bantuan rakyat bertambah, negeri makmur

Oleh NADIAH ZAMLUS

Pembentangan Belanjawan Selangor 2025 dijadual berlangsung pada 15 November depan, bersekali dengan sidang Dewan Negeri Selangor sehingga 29 November.

Belanjawan itu dijangka membentangkan pelan usaha mengurangkan jurang pendapatan melalui program pemberdayaan rakyat. Selain pelan holistik dalam aspek penjagaan dan kebajikan warga emas sebagai persediaan ke arah negara menua menjelang 2030.

Kedudukan ekonomi yang kini rancak diyakini menjadi daya bantu kepada Kerajaan Negeri untuk menghadapi tahun 2025. Belanjawan bukan sekadar perancangan kewangan, ia cerminan keprihatinan terhadap rakyat, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bukan omong kosong, inisiatif dibentang Belanjawan Selangor 2024 lalu masih rancak dilaksanakan. Meliputi empat teras iaitu pemangkin pelaburan berkualiti, menjana pendapatan tinggi, diikuti mengangkat pendidikan, menjamin alam sekitar lestari. Kemudian menaungi kebajikan rakyat dan terakhir mengangkat kesatuan ummah.

Ini sebahagian rancangan yang sedang berjalan, malah ada daripadanya sudahpun membuahkan hasil:-

Keterjaminan Makanan

memperuntuk RM40 juta, inisiatif terbesar dalam teras pertama. Februari lalu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) jalin kerjasama bagi meningkatkan aspek keselamatan makanan di samping membangunkan usahawan tani.

Hubungan dua hala itu memfokuskan tanaman jagung bijirin, penternakan lembu tenusu, tanaman kontan bernilai tinggi, Gedung Makanan Ehsan Selangor serta memanfaatkan tanah terbiar untuk penanaman komersial.

Mobiliti Selangor

menelan belanja RM8 juta bertujuan memodenkan lagi sistem pengangkutan awam sekali gus memperbaiki kebolehcapaian pengangkutan. Justeru perkhidmatan van transit atas permintaan (Demand-Responsive Transit) atau DRT diperkenalkan.

Usaha itu membantu mencapai sasaran 60 peratus penggunaan pengangkutan awam berbanding 40 peratus kenderaan persendirian. Pertama kali diperkenal di negara ini, DRT meningkatkan capaian pengguna kepada pengangkutan awam.

Setakat Jun, kira-kira 54,000 orang menggunakannya. Perkhidmatan itu melengkapkan kemudahan di laluan sempit yang tidak dilalui Bas Smart Selangor.

Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS)

dianjurkan dua siri tahun ini, siri pertama babitkan Ekspo Taman Perindustrian Selangor dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor jana nilai transaksi RM12.2 bilion.

Siri kedua iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) serta Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor mencatat transaksi RM1.66 bilion.

Acara bertaraf antarabangsa itu menarik kehadiran 8,500 pelawat selain turut disertai negara jiran Asean, Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Jepun dan United Kingdom.

Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC)

April lalu Selangor jalin kerjasama dengan Orangeleaf Consulting dan syarikat milik Siemens, Mendix membolehkan negeri menyediakan tenaga kerja berkualiti dan berpengetahuan luas.

STDC diwujudkan bagi memenuhi permintaan industri kompetitif dalam Industri 4.0. Belanjawan lalu Selangor peruntuk RM13.85 juta bagi menjayakan hasrat berkenaan.

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS)

inisiatif ini merekodkan kejayaan saban tahun, terkandung dalam teras kedua, RM10 juta diperuntuk sekali gus membolehkan PTRS ditambah baik dengan pembangunan aplikasi dalam talian. Peserta turut bertambah daripada 65,000 kepada 130,000.

Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran juga sedang meneliti keperluan pemberian data internet percuma bagi membantu pelajar mengulang kaji pada bila-bila masa.

Seramai 17,000 murid sekolah rendah yang keciciran kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) akan melalui proses intervensi PTRS.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mahu tekad Selangor beri keutamaan dalam aspek pendidikan melalui pelbagai usaha wajar dicontohi negeri lain.

Kesihatan Awam

menerusi Iltizam Selangor Sihat (ISS), Kerajaan Negeri menawarkan manfaat penghospitalan kepada ahli utama yang aktif dengan perlindungan sehingga RM10,000 setiap tahun.

Perlindungan tersebut merangkumi rawatan di hospital swasta bagi kes bukan kecemasan, manakala hospital kerajaan melibatkan kes kecemasan.

Rawatan asas RM250 setahun bagi individu dan RM500 setahun untuk keluarga, termasuk pengambilan vaksin terpilih di klinik swasta berdaftar.

ISS turut diperluas dengan menyediakan khairat kematian ahli utama dan manfaat perlindungan penyakit kritikal sebanyak RM5,000 bagi setiap tuntutan. Peruntukan kesihatan awam terbesar dalam teras ketiga berjumlah RM59.7 juta.

Insentif Haji

insentif tunai haji naik daripada RM500 kepada RM1,000. Bilangan penerima Insentif Haji Muassasah juga bertambah daripada 1,000 kepada 3,000 jemaah melalui peruntukan RM6 juta.

Selain wang tunai, mereka juga menerima kit syifa seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir. Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.2 juta bagi membiayai kos perjalanan 36 jemaah menunaikan haji secara percuma.

Pemberian insentif haji muassasah untuk jemaah negeri akan ditambah baik termasuk menyediakan bantuan khairat kematian, dengan faedah perlindungan sehingga RM25,000 jika jemaah meninggal dunia di tanah suci.

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS)

syarat kelayakan BINGKAS dilonggarkan, daripada isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 kepada RM5,000 sebulan.

Langkah berkenaan supaya lebih ramai mendapat manfaat RM300 sebulan melalui peruntukan RM108 juta sekali gus BINGKAS antara program bantuan kewangan terbesar berbanding negeri lain.

Festival Turath Islami

teras keempat dalam belanjawan ini menelan belanja RM2 juta, rentetan kejayaannya, Selangor bakal perkenal Akademi Pengajian Turath dan menganjurkan festival turath lebih kerap. Terbaru, ia dicadang menjadi salah satu pengisian dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.