SHAH ALAM, 11 NOV: Selangor menerima pelaburan sebanyak RM440 juta daripada syarikat pengeluar keluli antara terbesar dunia, Pohang Iron & Steel Company (POSCO) sejak beroperasi pada 2008.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menerusi Facebook berkata syarikat Korea Selatan itu membuka dua kilang di Rawang dan Pelabuhan Klang.
"POSCO merupakan salah satu pengeluar keluli terbesar di dunia serta dikenali dengan produk berkualiti tinggi dan teknologi inovatif terkini.
"Sejak 2008 hingga 2024, nilai pelaburan POSCO di Selangor dianggarkan RM440 juta, kilang milik mereka dibuka di Rawang dan Pelabuhan Klang," katanya.
[caption id="attachment_672558" align="aligncenter" width="1045"] EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (kiri) mengiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dalam lawatan kerja ke ibu pejabat POSCO di Gangnam, Seoul, Korea Selatan. Foto Facebook Najwan Halimi[/caption]
Terdahulu beliau mengiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dalam lawatan kerja ke ibu pejabat POSCO di Gangnam, Seoul, Korea Selatan.
Turut serta dalam lawatan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Saipolyazan M Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato' Hasan Azhari Idris.
Sementara itu, Tengku Amir Shah bertitah kehadiran POSCO di Selangor sejak 16 tahun lalu dihargai dan akan memberi sokongan dalam memastikan pertumbuhan dan kejayaan syarikat berkenaan.
Baginda turut berharap lawatan itu meningkatkan kerjasama seterusnya memberi manfaat kepada Selangor dan POSCO.
POSCO beroperasi di negara ini pada 3 April 2008. Syarikat yang dulunya dikenali syarikat besi dan keluli Pohang antara pembekal keluli terkemuka dunia.
Selain keluli syarikat itu juga terbabit dalam bidang antaranya tenaga dan hidrogen. Produk syarikat itu digunakan dalam pelbagai industri seperti automotif, elektrik dan elektronik serta pembinaan.
[caption id="attachment_672560" align="aligncenter" width="1231"] Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dalam lawatan kerja ke ibu pejabat POSCO di Gangnam, Seoul, Korea Selatan. Foto Facebook Najwan Halimi[/caption]