SHAH ALAM, 11 NOV: Pengasuh sekitar Selangor dipelawa menyertai Kursus Insentif Perkembangan Kanak-Kanak yang berlangsung selama dua hari bermula 16 November ini.
Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IMPAK) menerusi Facebook memaklumkan, kursus percuma itu diadakan di dua lokasi iaitu Hotel Mardhiyyah, Shah Alam dan Le' Venue Hotel, Bangi.
Terhad kepada 50 peserta sahaja bagi setiap lokasi, kursus memasuki siri ke-17 dan 18 itu memberi peluang kepada pengasuh di rumah untuk menimba ilmu berkaitan asuhan kanak-kanak.
"Anda pengasuh di rumah yang mengasuh, mengundi, dan menetap di Selangor? Belum pernah menghadiri mana-mana kursus pengasuhan? Inilah peluang anda!
"Sertai kursus ini untuk menimba kemahiran dalam perkembangan kanak-kanak, sekali gus memperkukuh pengetahuan sebagai pengasuh. Daftar segera untuk pengalaman pembelajaran yang berharga," katanya.
Menariknya, peserta akan dapat penginapan dan makanan ditaja sepenuhnya sepanjang kursus oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) termasuk menerima sijil penyertaan.
Untuk pendaftaran atau sebarang pertanyaan untuk kursus di Shah Alam boleh hubungi Farhana menerusi talian 017-340 1364 atau Hakimi 011-1629 4988 (Bangi).