SHAH ALAM, 11 NOV: Seramai 2,100 pelajar institusi pengajian tinggi di Selangor menikmati kemudahan pinjaman komputer riba anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dari Oktober 2022 hingga September 2024.
Ketua Bahagian Unit Korporatnya berkata Skim Pinjaman Teknologi Asas (SEPINTAS) bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) selain membawa tambah nilai kepada perkhidmatan perpustakaan sedia ada.
[caption id="attachment_654863" align="alignleft" width="391"] Ketua Bahagian Unit Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Zafrullah Aris[/caption]
“Konsep pinjaman adalah sama seperti proses meminjam buku dalam tempoh enam bulan. Ia disediakan dengan melihat keperluan laptop tinggi disebabkan kaedah pembelajaran berubah sejak pandemik melanda.
“Program ini disediakan di 50 cawangan PPAS seluruh Selangor. Mereka juga boleh memperbaharui tempoh pinjaman hingga sebulan mengikut keperluan,” kata Zafrullah Aris kepada Media Selangor.
Jelasnya lagi, syarat permohonan adalah warga yang menetap di Selangor dan pendapatan isi rumah kurang daripada RM8,000 sebulan.
“Permohonan boleh dibuat di laman sesawang PPAS yang akan ditapis serta bergantung stok yang sedia ada,” ujarnya.