ad
AGENDA

Mohd Dusuki Mokhtar dilantik peguam negara baharu berkuat kuasa esok

11 Nov 2024, 8:01 AM
Mohd Dusuki Mokhtar dilantik peguam negara baharu berkuat kuasa esok

PUTRAJAYA, 11 NOV: Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara baharu, berkuat kuasa esok.

Pengumuman pelantikan itu dibuat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Azri, pelantikan Mohd Dusuki mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Dusuki, 57, menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Shamsul Azri berkata Mohd Dusuki berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia.

Beliau mempunyai pengalaman luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di AGC.

Sementara itu, Shamsul Azri turut menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Terrirudin atas perkhidmatannya selama memegang jawatan sebagai Peguam Negara sejak 6 September 2023.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.