ad
AGENDA

Isu kadar sewa, caj elektrik 1BestariNet dimuktamad dalam masa terdekat

11 Nov 2024, 7:27 AM
Isu kadar sewa, caj elektrik 1BestariNet dimuktamad dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 11 NOV: Penyelesaian berkaitan kadar sewaan tapak dan caj elektrik projek 1BestariNet akan dimuktamad dalam masa terdekat, kata timbalan menteri pendidikan.

Menurut Wong Kah Woh usaha itu komitmen kerajaan Madani membabitkan isu lampau dalam perkhidmatan akses internet berkelajuan tingg, yang ditamatkan kontrak pada 2019.

"Banyak masalah kadar sewaan tapak tidak dimuktamadkan selain caj elektrik disambung daripada sekolah kepada syarikat untuk kegunaan menara komunikasi antara 2011 hingga 2019.

"Walaupun kontrak ditamatkan, menara ini masih beroperasi untuk komersial. Ini merupakan isu legasi yang perlu diselesaikan selepas kerajaan Madani mentadbir," katanya di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion.

Projek yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011 turut membabitkan siasatan pembayaran RM2.7 bilion dalam dokumen tuntutan mengandungi butiran palsu.

Sementara itu, Kah Woh berkata pembangunan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) menggantikan 1BestariNet menunjukkan perkembangan baik dari semasa ke semasa.

Beliau menjelaskan pelantar yang dibangunkan Kementerian Pendidikan Malaysia memberi manfaat baik dan kemudahan pembelajaran dalam pendidikan digital anak-anak.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini kita menempatkan 789 buku teks digital asas, 12,762 video pembelajaran dan 170 audio siar yang boleh diakses secara percuma oleh murid dan guru,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.