SHAH ALAM, 11 NOV: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama mempelawa orang ramai mengitar semula sisa elektronik (e-sisa) selain berpeluang mendapat ganjaran tunai.
Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin memaklumkan program Kitar Semula e-Sisa akan diadakan pada 16 November ini jam 10 pagi hingga 2 petang di Dewan Serbaguna SS21.
“Tahun 2024 hampir melabuhkan tirainya, ini merupakan masa terbaik untuk mengemas dan memulakan tahun baru dengan lebih teratur. Jika ada peranti elektronik atau perkakas lama yang tidak digunakan lagi, jom kita kitar semula.
“Jom kita belajar uruskan e-sisa dengan baik dan bertanggungjawab. Perubahan ke arah masa depan yang lebih bersih dan hijau bermula daripada kita sendiri,” katanya menerusi Facebook.
Antara barangan elektronik yang diterima adalah komputer meja atau komputer riba, periuk nasi, pembersih vakum dan televisyen skrin rata.
Selain itu monitor, projektor, tablet, telefon pintar, telefon bimbit, pencetak, bateri dan powerbank (tiada ganjaran tunai).
Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Nicholas di talian 012-613 1603.