ad
AGENDA

Pusat AI dilancar bulan depan, sedia gubal peraturan tangani kebocoran data

11 Nov 2024, 5:17 AM
Pusat AI dilancar bulan depan, sedia gubal peraturan tangani kebocoran data

SHAH ALAM, 11 NOV: Sebuah pusat inovasi kecerdasan buatan (AI) kebangsaan (NAIO) akan dilancar bulan depan bagi mengkaji segala aspek, termasuk cabaran berdepan teknologi itu.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata inisiatif itu mengambil kira perkembangan pesat AI, terutama isu kebocoran maklumat yang turut dilihat secara spesifik negara serantau lain.

“Kita sedar perkara ini (kebocoran data peribadi melibatkan AI) dan sebab itu ada pejabat AI Kebangsaan. Salah satu tugasnya buat kajian dalam menghadapi cabaran AI.

“Pejabat AI Kebangsaan (juga) untuk melihat keperluan gubal undang-undang atau wujud piawaian jika perlu dalam menangani keadaan tersebut,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Rompin Dato’ Abdul Khalib Abdullah berhubung kesediaan kerajaan menggubal undang-undang khusus AI dalam mengatasi kebocoran data peribadi.

Dalam pada itu, Gobind berkata pusat itu akan mengawal selia perkembangan AI dan menerajui inisiatif yang memanfaatkan teknologi tersebut untuk mengukuhkan ekonomi digital.

Menurutnya, ia juga akan meningkatkan perkhidmatan awam dan menyumbang pembangunan mampan, selain memastikan segenap aspek terlindung daripada ancaman dan penyalahgunaan yang tidak wajar.

September lalu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi meluncurkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan untuk melihat ekosistem AI secara menyeluruh.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.