ad
AGENDA

Malaysia, Mesir desak gencatan senjata segera di Gaza, Lubnan

11 Nov 2024, 4:40 AM
Malaysia, Mesir desak gencatan senjata segera di Gaza, Lubnan

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Malaysia dan Mesir mengutuk serangan Israel serta menyeru gencatan senjata segera di Gaza dan Lubnan untuk mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih parah.

Dalam satu kenyataan bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu, Anwar dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi bersetuju mengenai keperluan untuk memperjuangkan keamanan dan keselamatan di Timur Tengah.

Kedua-dua pemimpin turut memberi perhatian terhadap situasi kemanusiaan yang semakin merosot di Semenanjung Gaza.

“Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada Mesir atas bantuan dalam memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan daripada Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin menegaskan semula hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, termasuk hak terhadap sebuah negara Palestin yang merdeka.

“Mereka menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mempertimbangkan semula permohonan Palestin untuk keahlian penuh, selaras dengan Resolusi A/RES/ES10/23 yang diluluskan Perhimpunan Agung PBB pada 10 Mei 2024,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Anwar dan El-Sisi mengutuk keras pencabulan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa oleh Israel dalam operasi ketenteraannya di Lubnan.

“Tindakan ini juga mencabuli kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan, melalui pencerobohan dan serangan udara berterusan yang meragut nyawa lebih 2,000 orang awam tidak berdosa serta menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan penuh Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan serantau.

Agensi Anadolu melaporkan lebih 3,100 orang maut dan lebih 13,800 lagi cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, memetik pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Menurut laporan perubatan, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 melebihi 43,500 dengan lebih 102,000 orang cedera.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.