JOHOR BAHRU, 10 NOV: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menculik seorang ahli perniagaan bagi menuntut wang tebusan berjumlah RM20 juta, bulan lepas.
Tertuduh, Chan Wan Kooi, 57, yang merupakan nenek kepada empat cucu mengangguk faham pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Wanita itu didakwa melakukan persubahatan jenayah dengan seorang lelaki Chong Shih Ming, 46, serta dua lelaki warga Vietnam, Luong Van Tung, 39, dan Tran Van Chung, 29, menculik lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta di Jalan Straits View di sini, kira-kira 5 pagi, 13 Okt lepas.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar membantah sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh memandangkan kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi.
Peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh memohon jaminan dibenarkan atas faktor anak guamnya sudah berada dalam tempoh tahanan reman yang lama, selain wanita itu menghidap sakit jantung.
“Tertuduh mempunyai tiga anak berusia antara 28 hingga 36 tahun dan mempunyai empat cucu berusia empat hingga sembilan tahun. Tertuduh menjaga semua cucu-cucunya.
“Anak guam saya menjalani pemeriksaan berkala bagi masalah kesihatannya. Tertuduh juga beralamat tetap di Johor Bahru, jadi tiada risiko untuk dia melarikan diri,” katanya.
Mahkamah menolak permohonan ikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 Nov ini.
Isnin lepas, Chong mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim atas tuduhan menculik ahli perniagaan itu dengan tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta itu di tempat, masa dan tarikh sama.
Van Tung, 39, dan Van Chung, 29, yang didakwa bersama Chong bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Malaysia.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1960 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan dengan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Sesyen kemudian membenarkan Chong diikat jamin RM50,000, namun Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang membuat semakan jaminan itu.
Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan jaminan yang dibenarkan Mahkamah Sesyen itu diketepikan dan Chong ditahan di Penjara Ulu Choh, Pontian.
- BERNAMA