ad
AGENDA

Kes beg berisi RM1 juta selesai, kertas siasatan dirujuk pendakwa raya

10 Nov 2024, 4:38 AM
Kes beg berisi RM1 juta selesai, kertas siasatan dirujuk pendakwa raya

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Siasatan kes beg berisi wang tunai RM1 juta yang dilaporkan hilang selepas proses kutipan dilakukan sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point selesai.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata dua pengawal keselamatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes turut dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

“Kertas siasatan sedang dikemas kini dan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rabu lalu dua pengawal keselamatan masing-masing berusia 52 dan 38 tahun ditahan pada 10 malam selepas beg berisi wang tunai berkenaan dilaporkan hilang pada hari sama di sekitar kawasan Ampang Point.

Kedua-dua suspek ditahan reman empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beg berkenaan dilaporkan hilang pada 3.55 petang sebelum ditemukan di tengah laluan di Jalan Hulu Kelang menuju ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur oleh orang awam pada hari kejadian.

Kedua-dua suspek dipercayai bertugas membuat kawalan menaiki van keselamatan yang membawa beg berisi wang tunai berjumlah RM1,071,000 pada hari kejadian, dan beg itu dipercayai terjatuh ketika kenderaan terbabit melalui kawasan selekoh di laluan berkenaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.