ad
AGENDA

Pegawai farmasi rugi RM120,000 ditipu dua wanita

9 Nov 2024, 4:30 AM
Pegawai farmasi rugi RM120,000 ditipu dua wanita

KUALA TERENGGANU, 9 NOV: Seorang lelaki kerugian RM120,000 ditipu skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan dua wanita.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 3 Mei lalu mangsa yang berumur 28 tahun dan bekerja sebagai pegawai farmasi telah berbincang mengenai pelaburan bersama dua wanita di Kuala Terengganu.

Beliau berkata setelah berbincang mangsa yang berasal dari Raub, Pahang menyerahkan wang secara berperingkat sebanyak RM138,000 kepada salah seorang wanita itu yang juga ejen pelaburan berkenaan.

"Mangsa telah membuat pembayaran modal secara serahan tangan kepada suspek yang dikenali dan dijanjikan keuntungan RM286,000.

"Untuk mengaburi penipuan, mangsa dibayar keuntungan RM18,000 dalam tempoh tiga bulan iaitu Jun, Julai dan Ogos lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata selepas tempoh itu, mangsa yang membuat pelaburan menggunakan wang pinjaman peribadi tidak lagi menerima sebarang bayaran seperti dijanjikan.

Mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.