SEPANG, 8 NOV: Seramai 2,600 usahawan menyertai platform e-dagang MyMall yang diperkenalkan dua tahun lalu, dengan merekodkan nilai jualan mencecah RM8.85 juta.
Timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata platform bukan hanya membantu peniaga malah turut membentuk pembangunan ekosistem keusahawan yang menawarkan khidmat latihan, pembiayaan dan pemasaran.
“Yang lebih penting adalah percuma. Semua usahawan diseru memanfaatkan peluang ini. Daftarlah sebagai usahawan platform digital MyMall.
“Pengguna juga diharap membeli produk dari MyMall. Sokonglah produk keluaran tempatan dan sokong usahawan wanita supaya aktiviti ekonomi negara dapat dirancakkan,” kata Datuk R Ramanan ketika merasmikan Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 di sini hari ini.
Karnival berlangsung sehingga Ahad di IOI Grand Exhibition & Canvention Centre, di sini turut dihadiri isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad.
MyMall diperkenalkan pada April 2022 bertujuan membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif selain menjamin peluang niaga pada kadar caj pengurusan rendah berbanding penyedia e-dagang lain.