SEPANG, 8 NOV: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bercadang mengadakan karnival usahawan wanita sempena negara menjadi pengerusi ASEAN tahun depan.
Timbalan Menteri Datuk R Ramadan berkata hasrat berkenaan bakal membantu usahawan tempatan mempromosikan produk masing-masing sekali gus mampu menjana pendapatan lebih tinggi.
“Kita akan jadi tuan rumah ASEAN dan pastinya ramai wakil luar negara akan datang ke sini. Jadi kita cadang untuk anjurkan karnival usahawan wanita supaya peniaga dapat menjual produk.
“Dalam masa sama usaha ini dapat mengurangkan kos membawa peniaga ke luar negara untuk mempromosi produk mereka. Perkara ini akan dibincang lebih serius termasuk dengan kementerian lain dan perdana menteri sebelum diputuskan,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad. Turut hadir isteri Dato’ Menteri Besar Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.
Tahun depan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada ASEAN buat kali ke lima selepas pernah memikul tanggungjawab sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Perhimpunan akan menyaksikan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), buat julung kalinya menyertai Sidang Kemuncak GCC ASEAN + China.
Sementara itu, Ramanan menjangkakan karnival di IOI Grand Exhibition & Canvention Centre, di sini mampu mencapai nilai transaksi melebihi RM2 juta sepanjang tiga hari berlangsung.
“Karnival ini melibatkan lebih 100 reruai dan semuanya menjual produk yang menarik termasuk makanan, pakaian dan produk kecantikan. Dengan usaha pelbagai pihak, kita yakin ia mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.