KAHERAH, 8 NOV: Pelajar sarjana Universiti Al-Azhar kelahiran Klang dinobatkan pemenang kertas kerja terbaik dalam Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah, yang berakhir semalam.
Menulis kertas kerja bertajuk “Had Kifayah Sebagai Kaedah Pengelasan Pendapatan Isi Rumah dan Pelaksanaannya dari Perspektif Ekonomi Islam”, Muhammad Zulkhairi Dzulhasnan menerima RM3,000.
Pelajar jurusan Fiqh Perbandingan tidak menyangka idea yang tercetus sewaktu bersantai bersama rakan setahun lalu dipilih sebagai pemenang dengan menewaskan 21 lagi penulisan lain.
“Saya mahu idea ini dibaca ramai orang dan mempunyai merit akademik berbanding bersembang dalam Facebook. Sebab itu saya menulis kertas kerja ini,” kata pelajar berusia 28 tahun itu.
Hadiah termasuk sijil penyertaan disampaikan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah, dalam konvensyen yang berlangsung di sebuah hotel antara 5 hingga 7 November.
Sebanyak 22 kertas kerja dibentangkan menyentuh beberapa tema seperti adab dan akhlak, ekonomi dan kewangan, integriti dan perundangan serta kebudayaan dan kemasyarakatan.
Dalam pada itu, kertas kerja terbaik pula dianugerahkan kepada pelajar jurusan Syariah Islamiyah dari universiti sama iaitu Shahril Idzham Hamizi, yang berasal dari Banting.
Mahasiswa tahun empat itu menulis tajuk “Fiqh al-Ta’ayush: Garis Panduan Pengamalan dan Salah Faham Terhadap Isu Etnik dan Agama di Malaysia” dan membawa pulang RM1,000.
“Saya tidak menyangka dapat menewaskan 21 pembentang lain daripada universiti Jordan, Malaysia, Maghribi dan Malaysia. Saingan sengit tetapi rezeki memang tidak salah alamat,” katanya.