ad
AGENDA

22 pelajar SMK Guntong sakit perut, muntah-muntah selepas bersarapan

8 Nov 2024, 5:19 AM
22 pelajar SMK Guntong sakit perut, muntah-muntah selepas bersarapan

KUALA TERENGGANU, 8 NOV: Sebanyak 22 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guntong, Setiu sakit perut dan muntah-muntah selepas bersarapan di sebuah resort di daerah Setiu, semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata kejadian kira-kira 8 pagi itu melibatkan pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang mengikuti Kem Anakku Cemerlang di tempat peranginan berkenaan.

Beliau berkata pada mulanya lapan pelajar telah mengadu sakit perut serta muntah-muntah dan segera dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan oleh guru bertugas.

"Tidak berapa lama kemudian dua lagi pelajar turut mengadu sakit perut dan dihantar ke Klinik Kesihatan Permaisuri untuk rawatan, diikuti 12 lagi pelajar yang menunjukkan gejala keracunan makanan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelani berkata susulan itu, pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Setiu telah hadir ke resort berkenaan untuk membuat pemeriksaan dan mengambil sampel makanan berkaitan.

Beliau berkata seorang pelajar telah ditahan di wad untuk rawatan lanjut manakala selebihnya telah dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di Hospital Setiu dan Klinik Kesihatan Permaisuri.

"Kes ini diserahkan kepada pejabat kesihatan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.