SHAH ALAM, 8 NOV: Pemilik taska diingatkan mematuhi peraturan ditetapkan termasuk mewajibkan pengasuh mengikuti kursus asuhan kanak-kanak, kata EXCO kebajikan masyarakat.
Anfaal Saari berkata selain pematuhan berkaitan teknikal seperti bangunan dan infrastruktur, aspek yang perlu dipatuhi ialah mengikuti kursus pengasuhan kanak-kanak.
"Di peringkat pengusaha taska sendiri, pengasuh diwajibkan menjalani kursus pengasuhan kanak-kanak selama 28 hari oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
"Ini termasuk mengambil pengasuh mengikut nisbah kanak-kanak di taska mengikut peringkat umur," katanya selepas merasmikan program advokasi perkhidmatan taska Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.
Pada masa sama, Anfaal menyarankan pengusaha taska merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya terdapat sebarang permasalahan berkenaan garis panduan dan undang-undang.
"Kerajaan Negeri mahu melihat secara menyeluruh termasuk dalam pengoperasian taska supaya dapat memberi perkhidmatan lebih baik," katanya.
Sebelum ini, JKM memaklumkan pihaknya giat melakukan program advokasi untuk menggalakkan taska-taska didaftar dengan segera.
[caption id="attachment_671978" align="aligncenter" width="700"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Anfaal Saari bercakap ketika sesi libat urus Program Advokasi Perkhidmatan Taska Peringkat Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 7 November 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]