ad
AGENDA

Bayi lelaki tujuh bulan meninggal dunia di rumah pengasuh

7 Nov 2024, 10:58 AM
Bayi lelaki tujuh bulan meninggal dunia di rumah pengasuh

SEREMBAN, 7 NOV: Bayi lelaki berusia tujuh bulan maut selepas ditemukan tidak sedarkan dalam keadaan terlentang dan kepala mendongak ke atas di dalam buaian ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di Kuarters KLIA di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima maklumat dari Klinik Kesihatan Kuarters KLIA kira-kira 12.45 tengah hari berhubung kejadian selepas pengasuh membawa bayi berkenaan.

Menurutnya siasatan awal mendapati pada 7.30 pagi, pengasuh memasukkan mangsa ke dalam buaian setelah dihantar oleh ibu bapanya.

"Apabila pengasuh ingin mengejutkan mangsa untuk dimandikan, dia mendapati bayi itu tidak sedarkan diri dengan keadaan terlentang dan kepala mendongak ke atas. Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh badan bayi tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Rembau turut mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dalaman dan luaran terhadap bayi itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Malik berkata seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ditemukan lemas di air terjun Sungai Mahang, Nilai, semalam.

Beliau berkata mangsa yang bersekolah di sebuah sekolah di Selangor itu bersama empat rakannya datang ke air terjun tersebut untuk mandi-manda.

Katanya pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan darah keluar dari hidung dan tiada kesan luka atau lebam yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Keputusan bedah siasat mendapati tiada kesan sebarang kecederaan dalaman dan luaran dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.