ad
AGENDA

Pamer prestasi baik, lebih ramai atlet bawah program Pecutan Menuju Emas

7 Nov 2024, 5:23 AM
Pamer prestasi baik, lebih ramai atlet bawah program Pecutan Menuju Emas

SHAH ALAM, 7 NOV: Lebih ramai atlet akan dipilih menyertai program Pecutan Menuju Emas atau Fast Track Road To Gold (RTG) dalam Olimpik 2028 berikutan prestasi cemerlang dipamerkan ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menjelaskan atlet berkenaan antaranya Nurul Izzah Izzati Mohd Asri  dalam acara berbasikal-trek, yang kini dalam kedudukan 17 terbaik dunia.

Turut dalam senarai, menurutnya, ialah trio memanah wanita Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil pada kedudukan 20 terbaik dunia.

“Kejayaan S Sivasangari menjuarai Kejohanan Skuasy London Classic 2024 memberi gambaran persaingan merebut pingat emas. Setakat ini, enam atlet muda bawah 25 tahun dari sukan skuasy dan akuatik terjun dipilih bawah program ini,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau menjelaskan Majlis Sukan Negara (MSN) bakal membangunkan sukan baharu yang berpotensi menyumbang pingat kepada negara iaitu papan selaju, memanjat dan luncur air (surfing).

Pada masa sama, katanya, sukan yang menawarkan banyak pingat dan kategori berat badan juga akan diberi perhatian selain acara melibatkan atlet wanita.

MSN memulakan program Fast Track RTG untuk mewujudkan atlet muda dan berbakat antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik di Los Angeles.

Pemain skuasy Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman serta penerjun Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold disenaraikan dalam program berkenaan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.