SHAH ALAM, 7 NOV: Penggunaan soket elektrik dalam bas ekspres dilarang sementara waktu susulan kejadian seorang remaja lelaki maut terkena renjatan elektrik di Pulau Pinang, minggu lalu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata arahan dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bertujuan mengelakkan kejadian berulang sehingga laporan penuh berhubung insiden berkenaan diterima.
“Laporan lengkap akan disediakan pasukan khas. Saya beri masa 14 hari untuk mereka sediakan dan tahu punca sebenar. Ini akan diumumkan secara terperinci.
“Sementara itu, kita juga dapatkan khidmat Suruhanjaya Tenaga sekiranya perlu penambahbaikan. Kementerian akan tambah baik dan laksana tatacara operasi piawai (SOP) sebelum penggunaan dibenarkan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Loke mengakui tiada piawaian khusus berhubung penggunaan soket dalam bas seperti ditetapkan untuk kapal terbang dan kereta api.
“Soket dalam kapal terbang atau kereta api seperti perkhidmatan tren elektrik (ETS) memang ada piawaian. Ini mesti dipatuhi syarikat pembuat kapal terbang tetapi untuk bas tidak ada piawaian tersendiri.
“Dalam siasatan (kes renjatan elektrik), bagi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan lain-lain, soket tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan," katanya
Pada Jumaat, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral.
Berikutan itu kementerian menubuhkan pasukan khas terdiri daripada beberapa agensi antaranya APAD, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia selain menggantung operasi bas terbabit bagi menjalankan siasatan menyeluruh.