Oleh Fitri Hazim Hazam & Danial Dzulkifly
KUALA LUMPUR, 7 NOV: Selangor menjana nilai transaksi hampir RM400 bilion menerusi sektor e-dagang pada tahun lalu sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama ekonomi digital negara.
EXCO pelaburan berkata program latihan dan bimbingan yang diperkenalkan di bawah Selangor E-Commerce Xccelerator 2024 (ECX24) turut menyokong pertumbuhan sektor tersebut.
“Program seperti ECX24 memainkan peranan penting dalam menyokong sektor e-dagang di Selangor. Ia mengangkat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya lebih berdaya saing serta mampu mencapai tahap lebih tinggi.
“Inisiatif Selangor ECX akan memainkan peranan lebih penting pada tahun hadapan, Selain itu, ekonomi digital akan menjadi penyumbang kepada kadar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” kata Ng Sze Han pada majlis penutup ECX24 di Auditorium Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur pada semalam.
Terdahulu, 10 syarikat PKS diumum sebagai pemenang Selangor ECX24 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Syarikat PKS itu ialah Wellness Cosmetology Alliance Lab Sdn Bhd, Nasi Lemak Nale Sdn Bhd, Ominent Sdn Bhd, Eartheories Sdn Bhd, Gelatomio Production Sdn Bhd, Saudagaar Asia Sdn Bhd, Kimyra International Sdn Bhd, Natugee Sdn Bhd, MCCKT Ventures Sdn Bhd dan Naza Beyond Ventures.
Pemenang menerima wang tunai, trofi, sijil dan lawatan perniagaan ke ibu pejabat ByteDance’s di Shanghai, China.
Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping memberitahu Selangor komited meneroka inovasi inovasi dalam teknologi runcit dan perdagangan digital.
“Pembentangan demo di peringkat akhir pada ECX24 menunjukkan Selangor sentiasa menyokong inovasi digital selain memastikan Selangor kekal berada di hadapan dalam sektor ini.
“Setiap peserta mempamerkan daya tahan dan kreativiti pada demo untuk memacu ekonomi Malaysia ke hadapan,” ujarnya.
[caption id="attachment_671833" align="aligncenter" width="700"] EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) bersama pemenang dalam majlis penutup E-Commerce Xccelerator (ECX) di Auditorium Suhunjaya Sekuriti, Kuala Lumpur pada 5 November 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]