ad
AGENDA

Selangor FC sedia berdepan Jeonbuk pada aksi ACL2 malam esok

6 Nov 2024, 8:15 AM
Selangor FC sedia berdepan Jeonbuk pada aksi ACL2 malam esok

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Selangor FC (SFC) bersedia berdepan mana-mana 'skuad' yang bakal diturunkan Jeonbuk Hyundai Motors FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Piala Dunia Jeonju, malam esok.

Pengendali sementara SFC, Abdi Hassan menegaskan mereka bertandang ke gelanggang lawan untuk meneruskan momentum kemenangan di ACL2 sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan H.

"Kita mengharungi minggu sukar dan berjaya mendapatkan kemenangan pada aksi terakhir liga. Sudah tentu Jeonbuk memiliki dua skuad mantap, jadi kita tidak boleh katakan mereka mungkin bermain dengan pemain ini ataupun pemain itu.

"Malah, barisan pemain yang diturunkan pada aksi pertama di tempat kami juga adalah satu skuad yang amat baik. Jadi kami bersedia untuk berdepan kedua-dua barisan yang bakal diturunkan Jeonbuk berdasarkan senario berbeza yang bakal kami hadapi.

"Kami tahu ini satu cabaran yang besar untuk beraksi di tempat lawan. Kami tahu kekuatan kami dan kekuatan lawan, jadi kami akan bermain dengan corak permainan yang sesuai untuk kami dan mendapatkan jaringan," katanya, lapor Berita Harian.

Ketika ini, skuad 'The Red Giants' mendahului Kumpulan H dengan tujuh mata tanpa kekalahan selepas tiga perlawanan namun hanya berkelebihan satu mata di atas pasukan bimbingan Kim Do Heon itu.

Sementara itu, pemain tengah SFC, Nikola Jambor mengakui pertukaran jurulatih tidak memberi kesan kepada perancangan pasukan itu dengan barisan pemain Red Giants kekal fokus untuk menghadapi setiap perlawanan yang diharungi.

"Apapun yang terjadi dengan pasukan, pemain perlu kekal profesional untuk menjalankan tanggungjawab. Apa yang berlaku sebelum ini (pertukaran jurulatih) bukanlah kerja kita jadi kita fokus kepada perlawanan.

"Kita berjaya mendapat tiga mata pada aksi terakhir berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan pemain kini bersedia sepenuhnya untuk perlawanan malam esok," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.