ad
AGENDA

Lebih RM600,000 diperuntuk kepada mangsa konflik hidupan liar

6 Nov 2024, 7:02 AM
Lebih RM600,000 diperuntuk kepada mangsa konflik hidupan liar

SHAH ALAM, 6 NOV: Seramai 170 individu terlibat dengan konflik membabitkan haiwan liar menerima manfaat inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) setakat Oktober lalu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato' Sri Huang Tiong Sii berkata memperuntuk RM608,000, semua individu itu menerima bantuan kewangan yang diberikan secara sekali bayar (one-off).

"Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif BKHT akibat serangan hidupan liar dengan memperuntuk RM10 juta. Bantuan one-off diberikan kepada golongan yang mengalami kerosakan harta benda akibat serangan hidupan liar tertakluk kepada syarat ditetapkan.

"Sehingga Oktober lalu, 170 pemohon terima bayaran BKHT dengan bayaran keseluruhan RM608,000," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kecik di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya lagi, bagi yang mengalami kecederaan atau ahli keluarga kehilangan nyawa mereka dibantu Wang Kumpulan Amanah menerusi bantuan mangsa serangan binatang buas bagi meringankan beban mangsa dan keluarga.

Terdahulu, beliau menasihatkan supaya masyarakat supaya tidak membuat sebarang provokasi atau tindakan seperti cubaan menghalau atau mendekati hidupan liar, membaling objek-objek serta membunuh.

"Bagi mengelak situasi panik, bergerak secara perlahan-lahan untuk menjauhkan diri daripada hidupan liar dan berlindung di dalam rumah atau di tempat selamat sementara menunggu pihak berkuasa.

"Masyarakat boleh hubungi segera Jabatan Perhilitan terdekat atau talian hotline 1800-88-515 selain talian kecemasan umum Polis Diraja Malaysia untuk melaporkan kejadian konflik hidupan liar untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.