ad
AGENDA

Jakim bangunkan sistem pelaporan berpusat, mudahkan aduan babit ajaran sesat

6 Nov 2024, 5:47 AM
Jakim bangunkan sistem pelaporan berpusat, mudahkan aduan babit ajaran sesat

SHAH ALAM, 6 NOV: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membangunkan sistem pelaporan berpusat bagi memudahkan mana-mana pihak melaporkan terus aduan berkaitan ajaran sesat dan eksploitasi ke atas wanita atau kanak-kanak khususnya, kata timbalan menteri agama.

Zulkifli Hasan berkata pelaksanaan sistem itu akan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan segera selain aduan itu dapat diselaraskan dengan lebih strategik antara Jakim dan jabatan agama Islam negeri.

Menurutnya, Jakim menyedari terdapat beberapa keperluan membuat penambahbaikan dalam gerak kerja khususnya menangani isu-isu seumpama kes Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) dan ajaran sesat.

"Bagi kes ini (GISBH) didapati berlaku eksploitasi kanak-kanak dan wanita seperti yang didedahkan sehingga menimbulkan keperluan untuk penambahbaikan segera tatacara operasi piawai dalam pelaporan kes seperti ini.

"Oleh itu, Jakim bangunkan sistem pelaporan berpusat yang membolehkan mana-mana pihak melaporkan kes secara terus kepada pihak berkuasa. Selain itu, petugas barisan hadapan juga diberi latihan khas untuk mengenal pasti tanda-tanda eksploitasi.

"Langkah-Langkah ini penting bagi memastikan setiap laporan diterima mendapat perhatian segera demi melindungi kanak-kanak dan wanita yang terdedah dengan pelbagai ancaman," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman mengenai ke GISBH di Dewan Rakyat hari ini.

Ditanya berkaitan penyelarasan tindakan undang-undang syariah yang berbeza mengikut negeri, beliau memaklumkan Kerajaan sentiasa berbincang dan mengadakan sesi libat urus bersama ketua pegawai penguat kuasa agama negeri.

"Perbincangan sentiasa dilakukan bagi memastikan suatu tindakan yang diambil kepada mereka yang melakukan kesalahan di bawah perundangan syariah selaras dan juga seragam.

"Contohnya kes GISBH, mesyuarat penyelarasan telah dilaksana bersama ketua penguatkuasa negeri dan telah memutuskan beberapa perkara antaranya aspek pemulihan akidah diterajui Jakim dan semakan perkahwinan pula oleh jabatan agama Islam negeri," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.