ad
AGENDA

Polis tahan dua lelaki keldai akaun libat kerugian RM54,000

6 Nov 2024, 3:51 AM
Polis tahan dua lelaki keldai akaun libat kerugian RM54,000

BALIK PULAU, 6 NOV: Polis menahan dua lelaki dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM54,000.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata suspek berusia 25 dan 34 tahun itu ditahan secara berasingan di negeri ini oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya semalam.

"Dalam kes pertama, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Bukit Mertajam dekat sini kerana disyaki menjadi keldai akaun sindiket 'Phone Scam' sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM30,000 dalam kejadian tersebut.

"Berdasarkan laporan, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri daripada pihak penghantar barang dan memaklumkan namanya (mangsa) disenarai hitam kerana terlibat dengan kes pengubahan wang haram," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata talian seterusnya disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dan meminta mangsa memindahkan kesemua wang ke dalam satu akaun bagi tujuan siasatan.

Sazalee berkata mangsa telah memindahkan wangnya sebanyak RM30,000 menerusi transaksi dalam talian sebelum curiga setelah diminta untuk membuat pemindahan duit sekali lagi justeru bertindak membuat laporan polis.

Beliau berkata lelaki kedua pula ditahan di Tasek Gelugor dekat sini kerana disyaki menjadi keldai akaun dalam urusan pinjaman wang secara dalam talian melalui aplikasi Facebook sehingga mangsa kerugian RM24,000.

"Mangsa telah berhubung dengan seorang lelaki untuk tujuan pinjaman wang RM100,000 sebelum dia diarahkan untuk membuat transaksi ke beberapa akaun bank yang diberikan bagi urusan pinjaman wang dan telah membuat tujuh transaksi dengan jumlah keseluruhan RM24,000," katanya.

Kedua-dua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.