KAHERAH, 5 NOV: Selangor giat berusaha ke arah mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) melalui inisiatif dan strategi dalam pelbagai sektor, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan ia selaras komitmen negeri menyumbang satu hingga 1.5 gigawatt(gw) tenaga boleh diperbaharui dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Kita berharap untuk memulakan lebih banyak usaha kolaboratif dengan meneroka peluang perniagaan dan projek pembangunan dalam tenaga boleh diperbaharui.
“Ini dengan harapan dapat meningkatkan keselamatan tenaga negeri, serta melestari alam sekitar,” katanya berucap pada majlis perasmian Voluntary Sub-National Review (VSR) dan Voluntary Local Review (VLR) sempena World Urban Forum ke-12 (WUF12) di Pusat Pameran Antarabangsa Egypt di sini hari ini.
Awal tahun ini, pentadbiran negeri melalui Worldwide Holdings Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mempercepat kerjasama dan pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui di Selangor.
Projek itu termasuk tenaga suria berskala besar, penyimpanan tenaga bateri, infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik dan kecekapan tenaga yang dijangka menjana tenaga 3,000 megawatt daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2040.
Dalam ucapan sama, Amirudin menjelaskan komitmen Selangor memperkasa pembangunan mampan bukanlah satu usaha yang baharu, sebaliknya dimulakan sejak akhir 1990-an.
“Bermula Agenda 21 Selangor pada 1998 dan Agenda Tempatan 21 (LA21) pada 2006, Selangor terus bergerak ke depan dengan pelbagai pelan tindakan berkait pembangunan mampan
“Rangka tindakan itu seperti agenda tempatan 21, pembangunan hijau dan pembangunan bandar rendah karbon,” katanya lagi.