SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan akan meneruskan usaha pencarian pesawat MH370 di dasar laut dengan melaksanakan rundingan bersama sebuah syarikat di United Kingdom, Ocean Infinity.
Menteri Pengangkutan berkata rundingan bersama syarikat itu dibuat Jun lalu membabitkan pengesanan bangkai pesawat di satu lokasi baharu anggaran 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.
"Pertimbangan ini dibuat selaras dengan hasrat kerajaan tidak mengabaikan pencarian pesawat MH370 sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh diperoleh.
"Rundingan bersama syarikat itu dibuat mengikut prinsip 'no find, no fee' iaitu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang penemuan bangkai pesawat," kata Anthony Loke.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Merbok Mohd Nazri Abu Hassan ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Loke menjelaskan kawasan pencarian baharu yang dicadangkan adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang dibuat oleh pakar dan penyelidik yang dirujuk syarikat berkenaan.
"Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh (credible) dan boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370," katanya.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.