ad
AGENDA

Gaji minimum: Pasaran buruh tidak cekap didakwa punca kerajaan campur tangan

5 Nov 2024, 5:20 AM
Gaji minimum: Pasaran buruh tidak cekap didakwa punca kerajaan campur tangan

SHAH ALAM, 5 NOV: Penetapan gaji minimum RM1,700 disifatkan salah satu campur tangan kerajaan berikutan pasaran buruh dalam negara didakwa tidak cekap, kata ketua ahli ekonomi Bank Muamalat.

Disemak setiap dua tahun sejak 2013, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penentuan gaji atau upah umpama harga barang yang mempunyai hukum permintaan dan penawaran dalam kerangka ekonomi.

“Kalau ada lebihan permintaan berbanding penawaran, harga akan naik dan sepatutnya gaji juga naik, begitulah sebaliknya. Tetapi (perkara) itu tidak berlaku,” katanya kepada Selangorkini.

“Dasar gaji minimum ini suatu bentuk intervensi kerana bila letak gaji minimum, kerajaan juga meletakkan pada paras lantai. Sekarang lantai itu dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700."

Beliau mengulas kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober.

Dr Mohd Afzanizam menambah kenaikan berkuat kuasa 1 Februari 2025 mengundang isu kemampuan majikan tertentu berbanding firma seperti Tenaga Nasional Berhad yang mempunyai kewangan selesa.

"Untuk syarikat kecil dan tiada kewangan kukuh, kerajaan beri sedikit konsesi dengan tempoh enam bulan untuk laksanakannya. Itu yang sebenarnya berlaku," katanya lagi.

Oktober lalu, perdana menteri berkata TNB menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama bersetuju menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah dilaksana syarikat utiliti tersebut akan disusuli kenaikan gaji kepada semua kakitangannya.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.