ad
AGENDA

Geopolitik dunia dibimbangi rencat pertumbuhan ekonomi Malaysia

5 Nov 2024, 4:32 AM
Geopolitik dunia dibimbangi rencat pertumbuhan ekonomi Malaysia
Geopolitik dunia dibimbangi rencat pertumbuhan ekonomi Malaysia

SHAH ALAM, 5 NOV: Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur lebih baik tahun hadapan, didorong pergerakan nilai ringgit dan pasaran saham serta keyakinan pelabur asing.

Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat jangkaan tersebut boleh berubah disebabkan ketidaktentuan situasi geopolitik dunia.

“Cuma yang kita risaukan tidak lain tidak bukan adalah situasi di luar sana. Maksudnya, luar daripada Malaysia. Geopolitik dunia,” katanya mengulas hala tuju ekonomi negara.

Diwawancara Selangorkini pada 30 Oktober, beliau menjelaskan terdapat empat faktor geopolitik dunia terkini yang dianggapnya boleh mempengaruhi keadaan ekonomi negara.

Beliau berkata faktor itu adalah pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 5 November antara calon Demokrat Kamala Harris dan pencabarnya dari Republikan Donald Trump.

[caption id="attachment_671423" align="alignright" width="467"] Temu bual bersama Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid di Pejabat Media Selangor Sdn Bhd, Shah Alam pada 30 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Isunya daripada segi dasar. Kalau kita lihat kedua-dua naratif masih berpaksikan perlindungan (protectionist), terutamanya dengan China dan sebagainya,” katanya lagi.

Jelas Dr Mohd Afzanizam, ia turut dipengaruhi konflik dan dampak peperangan di Gaza serta di Timur Tengah, kelembapan ekonomi China serta pelabur tidak meyakini dasar negara Tembok Besar itu.

“Risiko ke bawah (downside risk) itu lebih kepada di luar sana. Maksudnya, menuntut ekonomi domestik ini perlu diperkukuh, terutamanya kedudukan kewangan kerajaan,” menurutnya.

Pertumbuhan ekonomi dijangka meningkat antara 4.8 hingga 5.3 peratus pada 2024 kepada 4.5 ke 5.5 peratus pada 2025, disokong pertumbuhan permintaan domestik melebihi 6.0 peratus.

Belanjawan 2025 turut menyasarkan pengukuhan fiskal dengan defisit dijangka berkurangan daripada 5.0 peratus pada 2023 kepada 4.3 peratus pada 2024 dan 3.8 peratus tahun depan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.