SHAH ALAM, 5 NOV: Monsun Timur Laut (MTL) atau lebih dikenali musim tengkujuh diramal bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac 2025.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku.
Menurut agensi itu, sepanjang bulan ini hingga disember, hujan lebat dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Manakala pada Januari hingga Februari tahun depan, episod hujan lebat melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Sebelum ini, ketua pengarah MetMalaysia memaklumkan sekiranya hujan lebat berterusan serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
“Menjelang fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac 2025, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan.
“Keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba,” kata Dr Mohd Hisham Mohd Anip seperti dilapor BERNAMA.
Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta peka dengan maklumat, nasihat dan ramalan cuaca melalui www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi METMalaysia atau hubungi talian 1-300-221-638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.