SUBANG JAYA, 4 NOV: Jumlah pengecas kenderaan elektrik (EV) kini lebih 900 buah, menghampiri sasaran 1,000 seperti ditetapkan Kerajaan Selangor sehingga hujung tahun ini.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pihaknya yakin lebih banyak pengecas EV akan dipasang susulan trend penggunaan kenderaan itu dilihat semakin meningkat.
“Setakat ini, terdapat kira-kira 25,000 EV di jalan raya di Malaysia, dengan nisbah 41 kenderaan bagi setiap pengecas berbanding negara utama pengeluar EV seperti Amerika Syarikat mempunyai nisbah 20:1 dan China (2.5:1). Oleh itu, kita masih mempunyai ruang yang besar untuk berkembang.
"Justeru, saya berharap banyak lagi stesen pengecas EV boleh dipasang di semua tempat di seluruh Selangor dalam masa terdekat seiring hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pengecas Kenderaan EV di Kelab Golf Kinrara di sini, hari ini yang turut dihadiri EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail.
[caption id="attachment_671428" align="alignnone" width="864"] Alat pengecas kenderaan elektrik (EV) dirakam pada Majlis Pelancaran Pengecas Kenderaan EV Carput Zap di Kelab Golf Kinrara, Bandar Kinrara, Puchong pada 04 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Sze Han yakin permintaan terhadap pengecas kenderaan EV akan lebih tinggi susulan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua) dan Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) bakal mengeluarkan kenderaan tersebut hujung tahun ini.
“Pada hujung tahun nanti, akan ada kenderaan EV Perodua dan Proton yang lebih murah dan selesa bakal dilancarkan, jadi permintaan terhadap pengecas sudah pasti akan lebih tinggi selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan pembekal syarikat EV di China bagi membina pusat penyelidikan pemanduan sebelah kanan (RHD).
“Kita masih dalam peringkat perbincangan dan memang ada cadangan untuk bekerjasama dengan pembekal EV di China memandangkan negara itu merupakan pembekal EV terbesar di dunia.
“Kami harap ia dapat direalisasikan sekali gus mampu menjadikan Selangor sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan pemanduan sebelah kanan,” katanya.