ad
BERITA UTAMA

Selangor, pemaju sistem tentera Turkiye kerjasama perkasa industri dron

4 Nov 2024, 11:30 AM
Selangor, pemaju sistem tentera Turkiye kerjasama perkasa industri dron
Selangor, pemaju sistem tentera Turkiye kerjasama perkasa industri dron

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri menerusi Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (Selati) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pemaju sistem ketenteraan terbesar Turkiye, Havelsan bulan lalu.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah berkata kerjasama membabitkan pemerkasaan industri dron ditandatangani sempena Ekspo Saha, pameran pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Turkiye.

“Saya percaya kerjasama dengan industri aeroangkasa dari Turkiye amat penting sekali dalam usaha kita menjadikan Selangor sebagai hab aeroangkasa utama.

[caption id="attachment_660180" align="alignleft" width="395"] EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Fahmi Ngah[/caption]

“Selain itu, ia dijangka membantu memperkasa industri dron di negeri ini dengan pembangunan Pusat Kecemerlangan Dron (CoE) di Bestari Jaya, Kuala Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Ekspo Saha yang berlangsung pada 22 hingga 26 Oktober lalu mempamerkan produk industri pertahanan Turkiye serta syarikat luar negara dalam sektor penerbangan, maritim dan angkasa lepas.

Fahmi menambah delegasi Selangor sempat meninjau pelbagai teknologi baharu dalam persenjataan terutamanya sistem dron yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Mewakili Selangor, lawatan rasmi ini bertujuan mengetengahkan inisiatif baharu Kerajaan Negeri dalam arena aeroangkasa dan mencipta peluang perniagaan untuk semua,” katanya.

Pada November 2021, Universiti Selangor (Unisel) memeterai memorandum persefahaman dengan Selati bagi membangunkan CoE berikutan kemudahan dan persekitaran strategik institusi itu dalam memacu industri dron.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.