ad
AGENSI

Lima buku IBDE dengan kerjasama Media Selangor terlaris sepanjang Oktober

4 Nov 2024, 7:29 AM
Lima buku IBDE dengan kerjasama Media Selangor terlaris sepanjang Oktober
Lima buku IBDE dengan kerjasama Media Selangor terlaris sepanjang Oktober

SHAH ALAM, 4 NOV: Lima naskhah terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor tersenarai dalam 10 karya terjemahan paling laris sepanjang Oktober.

Menerusi Facebook Buku IBDE, naskhah berkenaan ialah Memelihara Jiwa: Petua Daripada Tabib Kurun ke-9; Cetera Falsafah dan Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora.

Turut mendapat permintaan ramai adalah Mata-mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945–60 serta Gelagat dan Ragam Orang Melayu.

Naskhah riwayat Rasulullah berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings yang dihasilkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kekal sebagai naskhah terlaris bulan lalu.

Menurut IBDE, hampir separuh carta Oktober dipadati genre Malaysiana dan biografi tokoh tempatan.

“Naskhah tersebut seperti Perdukunan Melayu, Muslihat Mahathir, Mata-mata Gelap Malaya, dan Gelagat dan Ragam Orang Melayu masing-masing di kedudukan tujuh sehingga 10,” katanya.

Selain itu, tambah IBDE, naskhah 40 Hadis Imam Nawawi: Sebuah Huraian untuk Dunia Semasa yang menduduki tempat keenam turut menjadi rebutan pembaca.

“Sesuai dijadikan bahan belajar, buku syarah hadis oleh Imam Ali Jum'ah, mantan mufti agung Mesir ini hadir dengan teks dwitona yang memudahkan pembaca mengenali teks matan hadis,” katanya.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan bukuibde.com

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.