ad
AGENDA

Anwar: Malbatt kekal di Lubnan, situasi keselamatan dipantau setiap masa

4 Nov 2024, 6:44 AM
Anwar: Malbatt kekal di Lubnan, situasi keselamatan dipantau setiap masa

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa memantau keadaan serta keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) di Selatan Lubnan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Pertahanan berhubungan dengan petugas di negara itu hampir setiap hari.

“Setakat ini Duta Besar (Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob) masih di Beirut memantau keadaan dan akan ada giliran penukaran pasukan sedia ada kepada pasukan baharu kerana mereka sudah tamat tempoh.

“Mereka dijangka tiba di sini (Malaysia) sekitar 6 hingga 19 November dan kemudian penggantian dengan kumpulan Malbatt yang lain” katanya pada sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut memaklumkan, Malaysia bersama 33 negara penyumbang anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) telah membuat kenyataan bersama diterajui Poland mengecam tindakan serangan Israel di negara itu.

“Negara kuasa besar pun dalam sejarah mutakhir, tidak segila, sekejam dan sezalim Israel seperti apa yang berlaku sekarang. Jarang dalam sejarah kita lihat sanggup mengetepikan semua peraturan dunia, hukum dan undang-undang.

“Sehingga menyebabkan risiko ke atas petugas PBB di Lubnan. Sebab itu atas inisiatif Poland kita sokong dan lakukan kenyataan bersama,” katanya.

Pada 20 Oktober lalu, Unifil yang bertugas di Meiss ej Jebel, Lubnan dilapor mengeluarkan kenyataan berdepan masalah kekurangan bekalan kritikal termasuk air susulan cabaran logistik yang semakin meruncing.

Ia susulan peningkatan aktiviti ketenteraan di sepanjang Blue Line dan bekalan tidak dapat disalurkan sejak 29 September lalu akibat sekatan jalan dan pertempuran berterusan.

 

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.