ad
AGENDA

Tanah runtuh di Pandan Indah, sebuah kereta rosak

4 Nov 2024, 6:07 AM
Tanah runtuh di Pandan Indah, sebuah kereta rosak

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Insiden tanah runtuh yang berlaku di Lembah Maju, Pandan Indah pada 12 Okt lepas berulang lagi apabila sebuah kereta jenis Proton Saga terjatuh ke dalam tebing di lokasi sama kira-kira 3.30 pagi tadi.

Mangsa, Adrian Untam, 44, seorang pemandu e-hailing sepenuh masa berkata beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon dari jirannya yang memaklumkan bahawa keretanya telah terjatuh akibat tanah runtuh itu.

"Saya parkir kereta saya selepas balik kerja sekitar 9 malam semalam dan hujan belum mula. Kira-kira pukul 3.30 pagi, jiran hubungi saya dan beritahu kereta saya telah jatuh. Saya sangat sedih sebab itulah (kereta) satu-satunya sumber pendapatan saya," katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Lembah Maju, Shaik Mohamed Sadiq Ali, 38, berkata beliau tidak menyangka kejadian tanah runtuh berlaku sekali lagi di lokasi yang sama.

Beliau berkata insiden tanah runtuh seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang 30 tahun beliau tinggal di kawasan itu, tetapi kini bimbang akan keselamatan dirinya dan penduduk lain, terutamanya apabila hujan lebat.

"Sekarang, kalau hujan saya memang bimbang dan akan parkir kereta jauh (daripada kawasan tebing dan longkang).

"Saya harap pihak berkaitan lebih peka dengan perkara ini untuk keselamatan penduduk setempat, dan selepas ini pihak berkuasa dapat membuat penghadang konkrit (kekal atau usaha lain yang lebih sesuai) kerana kawasan di situ terbuka (tanpa sebarang penghadang)," katanya.

Pada 12 Okt lepas, hujan lebat berterusan telah menyebabkan dua kenderaan hampir jatuh ke dalam longkang selepas tebing sungai di lokasi sama runtuh.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai Yew Jia Haur yang melawat kawasan itu mengesahkan kawasan parkir kenderaan awam berdekatan dengan lokasi kejadian tanah runtuh itu ditutup sementara waktu bagi memberi laluan untuk kerja pembaikan.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui pihak kontraktor dilantik akan melaksanakan kerja membaik pulih tebing berkenaan bermula hari ini.

“Setakat ini pihak pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sedang mengusahakan pembahagian bekalan air untuk 300 pemegang akaun sekitar Lembah Maju ekoran terdapat gangguan bekalan air selepas insiden tanah runtuh itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Air Selangor akan menyediakan enam tangki statik serta lori-lori tangki air diminta bersedia untuk bantu membekalkan air kepada penduduk yang terkesan.

Mengikut Yew, lokasi kejadian tanah runtuh hari ini pada awalnya sudah pun dihadang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selepas insiden pertama pada 12 Okt lepas, namun terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang telah bertindak membuka hadangan itu.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.