SHAH ALAM, 4 NOV: Perpustakaan Daerah Klang di Jalan Tengku Kelana, Klang dibuka semula kepada orang ramai dengan konsep mesra transit, mulai 1 November lalu.
Menurut Ketua Bahagian Unit Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) perpustakaan konsep mesra transit itu merupakan cawangan kedua di daerah Klang dan ke-13 di seluruh Selangor.
“Antara kemudahan disediakan kepada pengunjung WiFi percuma, sudut bacaan kanak-kanak dan dewasa, bilik penyusuan, pantri, tandas, surau termasuk pancuran air (shower) untuk mandi.
“Dengan penyediaan ruangan lebih interaktif yang lebih luas ini diharap dapat memberi keselesaan kepada pengunjung khususnya untuk kanak-kanak dan pelajar,” kata Zafrullah Aris ketika dihubungi Selangorkini.
Perpustakaan Awam Selangor@Daerah Klang di Jalan Tengku Kelana dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang kecuali cuti umum. Untuk sebarang maklumat lanjut hubungi talian 03-3371 9429.
Tahun lalu, Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad berkata sebanyak 73 daripada 104 perpustakaan awam negeri ini selesai dinaik taraf selain melalui proses penjenamaan semula.
Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor membudaya perpustakaan sebagai gedung ilmu dengan pelbagai kemudahan untuk semua sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri berlandaskan pengetahuan.