ad
AGENDA

Aliran trafik lebuh raya menuju Lembah Klang dijangka meningkat tengah hari ini

3 Nov 2024, 2:58 AM
Aliran trafik lebuh raya menuju Lembah Klang dijangka meningkat tengah hari ini

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Aliran trafik di lebuh raya utama menghala ke Lembah Klang terkawal pagi ini, namun jumlah kenderaan dijangka meningkat menjelang tengah hari, susulan warga kota pulang ke ibu negara selepas cuti perayaan Deepavali Khamis lepas.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), setakat 10 pagi, tiada kesesakan luar biasa dilaporkan dengan hanya satu lokasi sesak sepanjang tiga kilometer di arah Senawang ke Port Dickson di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akibat kemalangan di km 256.6.

Jurucakap berkenaan berkata pihak PLUS telah mengaktifkan tujuh laluan lorong pintar (smart lane) mulai 9 pagi tadi sehingga 10 malam bagi memudahkan perjalanan pulang warga kota.

“Laluan terbabit antaranya di Putra Mahkota ke Southville City, Rawang ke Sungai Buaya melibatkan kedua-dua arah, Sungkai ke Slim River juga kedua-dua arah dan Senai ke Kulai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

Sementara itu, keadaan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur juga dilaporkan terkawal.

“Kenderaan dijangka bertambah di semua lebuh raya utama menjelang tengah hari nanti,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

TAG: trafik, PLUS, LLM, lorong pintar, Deepavali

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.