SHAH ALAM, 2 NOV: Usahawan tani dipelawa menyertai program pencarian Ikon Agro Selangor 2024 yang dibuka hingga 10 November ini.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata program yang dianjurkan sejak 2020 mempertandingkan kategori pertanian, penternakan, akuakultur, industri asas tani dan agropelancongan
"Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum penyertaan program Pencarian Ikon Agro Selangor 2024 ditutup.
"Saya jemput kepada warga tani Selangor yang berminat serta menepati kriteria yang ditetapkan untuk menyertai program ini. Untuk memohon sila klik link berikut
https://bit.ly/Ikonagro2024," katanya di Facebook.
Program tersebut bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan tani seiring matlamat menjadikan Selangor sebagai pusat simpanan bekalan makanan.
Setiap Ikon Agro Selangor akan memenangi wang tunai dan peralatan pertanian bernilai RM10,000. Mereka juga berperanan sebagai duta kecil sektor agro serta membimbing usahawan tani baharu.
Ikon Agro Selangor dipantau dan diaudit oleh Jawatankuasa Pertanian Negeri Selangor selama dua tahun.