ad
AGENDA

Polis siasat dakwaan seorang penuntut UPNM dibuli, dada ditekap seterika

2 Nov 2024, 2:37 AM
Polis siasat dakwaan seorang penuntut UPNM dibuli, dada ditekap seterika

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Siasatan kes seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera seorang penuntut senior telah dimulakan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka selepas mangsa berusia 20 tahun itu membuat laporan kira-kira 8.20 malam tadi (1 Nov) dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kejadian dikatakan berlaku pada 11.45 malam 22 Okt lepas, di bilik asrama UPNM selepas penuntut senior yang juga pegawai kadet tahun empat telah meminta mangsa menggosok baju kerja miliknya.

“Secara tiba-tiba, pelajar senior berusia 22 tahun itu telah mengambil seterika dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanannya sebanyak satu kali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata tindakan penuntut senior itu menyebabkan mangsa terkejut dan menjerit serta menyebabkan kecederaan melecur, dan ketika kejadian beberapa orang penuntut senior dikatakan turut berada di dalam bilik berkenaan.

Beliau berkata rakaman percakapan mangsa telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan mangsa turut diminta membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan untuk tidak berkompromi dengan budaya samseng, buli dan gangsterisme di institusi pendidikan masing-masing.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dilaporkan berkata Angkatan Tentera Malaysia tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes berkenaan dengan siasatan terperinci sedang dijalankan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.