ad
BERITA UTAMA

Pemergian abang dorong tekad usahawan wanita kembang niaga

2 Nov 2024, 2:30 AM
Pemergian abang dorong tekad usahawan wanita kembang niaga

Abangnya sakit berat. Namun, Norhafizah Mohd Isa terpaksa 'berkampung' di sebuah kilang percetakan selama tiga hari lantaran tempahan pelanggan melewati tempoh.

Usahawan tersebut perlu memastikan cetakan buku laporan tahunan sebuah syarikat itu disiapkan untuk diedar dalam program anjuran pelanggannya.

Wanita berusia 44 tahun itu berkira-kira untuk bergegas ke Nilai, Negeri Sembilan bagi menziarahi abangnya itu sebaik sahaja semua kerja cetakan siap sepenuhnya.

"Pelanggan guna buku itu untuk acara mereka. Jadi, kenalah siap ikut masa. Saya kena tunggu tiga hari di kilang. Kalau tak tunggu barang (tempahan buku) saya tak jalan (kerja cetakan)," katanya.

Sebaliknya, Norhafizah menerima panggilan yang abangnya telahpun meninggal dunia pada hari kerja cetakan itu siap.

"Saya sangat ralat. Disebabkan tempahan lambat siap, saya tak sempat ziarah abang masa hidup," kata anak bongsu dari enam beradik mengimbau peristiwa pada 2010.

Detik itu menumbuhkan tekadnya untuk memiliki mesin cetak sendiri, tidak mahu lagi bergantung kepada syarikat pembekal lain.

Pada peringkat awal, beliau menukar syarikat pembekal. Beberapa tahun kemudian, Norhafizah terbang ke China untuk membeli mesin percetakan berbekal wang simpanan perniagaan.

Wanita itu berulang-alik ke republik berkenaan untuk membeli mesin tersebut. Kadang-kadang dua-tiga kali dalam setahun.

Kini, syarikat miliknya Norf Media Printing & Advertising mempunyai 20 mesin cetakan bernilai sekitar RM100,000 sekali gus tempahan yang diterima kian meluas.

Beliau juga terpilih sebagai 10 peserta terbaik Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (Usahawanita) di Shah Alam pada 19 Julai.

Sebenarnya, Norhafizah mula mengambil tempahan kecil-kecilan bagi mencari duit tambahan ketika masih menjadi pelajar tajaan Yayasan Selangor. Bermodal RM500, anak jati Ampang itu kemudian menceburi perniagaan percetakan sepenuhnya pada 2009.

Tanpa mesin dan peralatan mencukupi, wanita itu menumpang kedai serbaneka milik bapanya. Norhafizah hanya mengambil tempahan sebelum mengupah syarikat percetakan untuk menyiapkannya.

Pelanggannya ketika itu antaranya cawangan pengedar kereta jenama tempatan yang kerap menempah risalah, gegantung atau kad nama.

"Masa itu belum ada media sosial. Saya iklankan perniagaan dengan hantar risalah rumah ke rumah dan kedai-kedai. Semua buat sendiri seorang diri. Perniagaan berkembang bila pelanggan mula percaya dan bercerita mulut ke mulut.

Tempahan meluas

"Salah seorang penyelia syarikat jual kereta tempatan tempah dengan saya. Kemudian dia kenalkan pula dengan cawangan lain. Sejak itu bertambah satu demi satu, sekarang lebih 80 cawangan ambil tempahan dengan saya," katanya ketika ditemui Selangorkini di Pandan Indah pada 30 Julai.

Ekoran peristiwa pemergian abangnya, disusuli pembelian mesin di China, beliau memindahkan operasi perniagaan pada 2019 dengan sewa RM3,000 sebulan.

Namun, beberapa bulan kemudian, pandemik Covid-19 melanda negara. Mujur pemilik premis mengurangkan separuh kadar sewa. Pun begitu, situasi tersebut merentap perkembangan perniagaannya. Untuk menampung kos, beliau menjadikan pelitup muka sebagai perniagaan sampingan.

Berbekal modal RM7,000, beliau membeli pelitup muka dari China untuk dijual di Shopee. Sebaliknya, langkah tersebut membawa kerugian. Sebaik sahaja bahan itu tiba, penetapan harga siling dibuat. Lebih buruk lagi, harga pelitup muka menjunam ekoran terlalu ramai peniaga menjual aksesori tersebut.

Apabila pandemik surut dan Perintah Kawalan Pergerakan tidak lagi dikuat kuasa, perniagaannya beransur pulih. Syarikatnya berupaya meraih sekitar RM15,000 hingga RM20,000 sebulan. Ada waktunya mencecah RM40,000.

Sebagai usahawan, Norhafizah ligat mencari ilmu perniagaan dengan menyertai beberapa kelas bimbingan antaranya kelas tentang media sosial di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor BizPoint di Seksyen 7, Shah Alam pada 2013.

"Di situ kita dapat berkawan dengan ramai usahawan lain terutama yang lebih berjaya. Kursus seperti ini bagai vitamin untuk saya. Bila dah macam nak padam, dia menyala semula. Macam itulah," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.