KLANG, 1 NOV: Wakil rakyat Pandamaran akan bertemu EXCO berkaitan mengenai kewujudan tapak pembuangan sampah haram di Jalan Arang, Pandamaran yang dikesan sejak sebulan lalu.
Tony Leong Tuck Chee berkata pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat kerana tapak seluas tiga ekar yang dijadikan tempat pembuangan sampah pukal dan plastik mengakibatkan saliran air bersebelahan kawasan itu tersumbat.
"Saya menerima aduan daripada penduduk beberapa hari lalu mengatakan berlakunya pembuangan sampah haram sejak 1 Oktober lalu. Malah, pemilik tanah ada membuat laporan polis berikutan diugut kerana melarang lori masuk membuang sampah.
[caption id="attachment_670925" align="alignleft" width="500"] ADN Pandamaran Tony Leong Tuck Chee bercakap kepada media selepas meninjau tapak sampah haram di Klang pada 1 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Hari ini saya bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan polis membuat tinjauan dan melihat sendiri sampah pukal dan plastik yang dibuang.
"Pelbagai sampah plastik ditemui termasuk dikesan dari sebuah kilang terletak di Shah Alam. Tindakan segera perlu diambil kerana tapak ini berhampiran dengan rizab sungai yang mengalirkan air dari Taman Bayu Perdana, Bukit Tinggi dan Sentosa yang merupakan kawasan banjir," katanya.
Ditemui selepas meninjau tapak tersebut, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat meminda mana-mana akta atau undang-undang kecil yang membolehkan tindakan lebih berat dikenakan kepada pelaku.
"Buat masa ini, akta sedia ada hanya dikenakan kepada pemilik tanah sedangkan jika terdapat kes seperti ini mereka tidak bersalah.
"Perlu ada tindakan berat daripada Kerajaan Negeri untuk membanteras kegiatan pembuangan sampah haram ini agar tidak mengganggu penduduk dan kelestarian alam sekitar," katanya.
Sementara itu, Pembantu Penguat kuasa MBDK Ibrahim Bizan berkata sejurus menerima aduan pihaknya membuat pemantauan dan menyita dua lori yang sedang membuang sampah di lokasi tersebut.
"Tindakan sitaan dan kompaun telah dikenakan kepada pemandu lori kerana membuang sampah di kawasan tidak dibenarkan 28 Oktober lalu.
"Selain itu, MBDK akan terus melakukan pemantauan di lokasi ini selain mencadangkan premis ini ditutup sementara. Kita juga akan meminta individu yang menuntut kenderaan membayar segala kos perbelanjaan termasuk proses pembersihan," katanya.
[caption id="attachment_670926" align="aligncenter" width="1047"] ADN Pandamaran Tony Leong Tuck Chee bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan anggota polis meninjau tapak sampah haram di Klang pada 1 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_670928" align="aligncenter" width="1024"] Keadaan tapak pelupusan sampah haram berhampiran Sungai Klang ketika tinjauan di Klang pada 1 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]